Rumah;
Tapak
Tiang
Bumbung
Tapak yang asasnya kukuh,
tidak goyah walau dirempuh.
Tapak di mana engkau berdiri--
diisi dengan ilmu dan integriti,
dihiasi dengan santun dan budi.
Tiang.
Kalau satu dia runtuh.
Walau berbilang tetapi tidak teguh--
pasti runtuh jua rumah yang dibina utuh.
Sama-samalah kita berdiri; bahu ke bahu
mendukung satu misi;
"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing"
itulah yang kita impi.
Bumbung.
Kala terik dia meneduh,
Kala hujan dia melindung.
Bumbung yang menyatukan--
saat kita perlukan--
janganlah sesekali kita melupakan.
Pintu.
Engkau mempunyai kuasa;
sama ada engkau di dalam atau di luar.
Engkau mempunyai pilihan;
untuk menerima atau menolak.
Di dalamnya suatu wawasan,
di luarnya suatu keputusan.
Hanya satu langkah ke hadapan
dan semuanya dalam genggaman.
Marilah kita ramai-ramai
Membina satu kediaman
Menghias dengan corak perpaduan
dan kaya dengan kasih sayang
Rumah ini sedang dibina--
oleh kita.
Rumah ini perlukan kita--
untuk bersatu.
Rumah ini--
Malaysia tercinta.
Ambang Merdeka
SMK Convent, Klang.
29 Ogos 2014